Khamis, 18 Ogos 2011

Seluas Lautan Ilmu Ditimba








Pada 13 Ogos yang lalu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) meneruskan jelajah Kempen Membacanya melalui siri Mari Membaca 1Malaysia. Kali ini, siri Kempen Membaca tersebut disasarkan kepada kumpulan tentera laut, kerana itu program Mari Membaca 1Malaysia tersebut dinamakan sebagai Seluas Lautan Ilmu Ditimba.

Program ini telah disempurnakan oleh DYTM Brigadier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai, Raja Muda Perlis bertempat di Auditorium Markas Angkatan Kapal Selam, Markas Wilayah  Laut 2, Pangkalan TLDM Teluk Sepangar, Kota Kinabalu, Sabah.

Seluas lautan begitu juga seluasnya ilmu perlu ditimba agar masyarakat menjadi modal insan yang berkualiti dari segi pengetahuan dan mempunyai minda yang lebih tajam ke arah membentuk sebuah negara yang mampu bersaing di arena dunia yang terbuka.

Kumpulan tentera laut yang menjadi sebahagian daripada masyarakat Malaysia tidak harus dipinggirkan dalam pembangunan minda insan kerana kumpulan tersebut juga adalah aset negara yang tidak ternilai.

Sempena program tersebut, sebanyak 500 naskhah bahan bacaan disumbangkan kepada TLDM Teluk Sepangar. Bahan bacaan tersebut diserahkan oleh DYTM Raja Muda Perlis kepada Panglima Wilayah Laut 2, Panglima Muda Dato` Anuwi bin Hassan. Selain bahan bacaan tersebut ditempatkan di Pusat Sumber Komuniti, ia juga ditempatkan di Kapal Diraja (KD) KEDAH. Buku-buku adalah sumbangan PNM, PTS Publication & Distributor selain daripada sumbangan Universiti Malaysia Perlis dan Mufti Negeri Perlis.

Sementara itu, syarikat Nagasteel Equipment telah tampil menyumbangkan rak buku yang ditempatkan di KD KEDAH selain turut menyalurkann 4 unit iPad untuk digunakan di Kapal Selam berikutan sudut bacaan tidak dapat diwujudkan dalam kapal selam yang mempunyai ruang yang sempit dan terhad. iPad tersebut diharapkan dimanfaatkan oleh anggota tentera sebagai gajet untuk membaca bahan bacaan elektronik.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah DYTM Meja Kehormat Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (Raja Puan Muda Perlis), Dato` Raslin bin Abu Bakar (Ketua Pengarah PNM), Laksamana Pertama Dato` Pahlawan Mohammad Rosland bin Omar (Panglima Angkatan Kapal Selam), Delegasi Lawatan OP PASIR Perlis serta pegawai-pegawai TLDM Teluk Sepangar.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan