Sabtu, 7 April 2012

Keunikan Pemerintahan Beraja Dalam Sistem Demokrasi Malaysia

Oleh Cik Rashidah Abd Ghani

Pemerintahan beraja di Malaysia dikatakan paling unik berbanding negara lain yang mengamalkan pemerintahan beraja.

Ini kerana di negara-negara berkenaan takhta pemerintahan terus kekal dikuasai waris, tetapi di Malaysia raja yang memegang jawatan sebagai Ketua Negara atau dikenali sebagai Yang di-Pertuan Agong bertukar mengikut giliran dalam kalangan sembilan Sultan atau Raja yang memerintah negeri.

Sungguhpun negara ini mengamalkan sistem pemerintahan Raja BerPerlembagaan dan Demokrasi BerParlimen, pemilihan Yang di-Pertuan Agong, yang mula dilaksanakan ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957, adalah cukup bermakna kerana ia melambangkan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan demokrasi.

Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong, orang yang terutama di Malaysia, tidak dipilih oleh rakyat tetapi oleh sembilan Raja-raja Melayu berkenaan pada persidangan Majlis Raja-raja, bagi memegang jawatan itu untuk tempoh lima tahun.

Apabila genap tempoh itu, Seri Paduka Baginda hendaklah turun dari takhta dan akan digantikan oleh seorang raja lain berdasarkan sistem pemilihan yang sama. Dalam sistem penggiliran ini, takhta pemerintahan adalah kekal tetapi raja akan bersilih ganti.

Raja-raja Melayu yang layak memilih dan menduduki takhta pemerintahan Malaysia ialah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Selangor, Raja Perlis, Sultan Terengganu, Sultan Kedah, Sultan Kelantan, Sultan Pahang, Sultan Johor dan Sultan Perak.

NEGERI SEMBILAN YANG PERTAMA

Sejak pemilihan Yang di-Pertuan Agong pertama iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Malaysia sudah mempunyai 14 orang ketua negara termasuk Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dari Kedah, yang akan ditabalkan pada 11 April ini.

Malah pertabalan Tuanku Abdul Halim, 84, pada Rabu ini mencatat sejarah kerana telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua.

Seri Paduka Baginda pertama kali dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 23 Julai, 1970 semasa berusia 42 tahun.

Mengikut catatan sejarah, sistem pemilihan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan oleh para Undang yang memerintah luak atau daerah di negeri itu mengikut adat Minangkabau, memberikan inspirasi kepada Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dalam merangka kaedah pemilihan Yang di-Pertuan Agong.

Pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman bertanggungjawab memperkemas sistem yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid pada 1957 di mana jawatan Yang di-Pertuan Agong bukanlah diwarisi tetapi berdasarkan kepada sistem giliran - sesuatu yang baru dan tidak pernah diamalkan oleh mana-mana negara di dunia.

Sehubungan itu, Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Kepala Utama Negara. Seri Paduka Baginda mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan.

Di bawah Pindaan 1993, Yang di-Pertuan Agong, seperti juga Raja-raja, boleh didakwa atas kapasiti peribadinya dan jika didakwa bagi sebarang kesalahan di bawah mana-mana undang-undang, Seri Paduka Baginda akan dibicarakan di sebuah Mahkamah Khas yang dibentuk Majlis Raja-Raja.

DIPILIH MAJLIS RAJA-RAJA

Perlembagaan juga memaktubkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja secara undi sulit untuk tempoh lima tahun.

Namun begitu, Seri Paduka Baginda boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa dengan mengutus surat perletakan jawatan kepada Majlis Raja-Raja atau dipecat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Setakat ini belum ada pemegang jawatan Yang di-Pertuan Agong yang dipecat atau meletak jawatan.

Perlembagaan seterusnya memaktubkan bahawa sebagai Ketua Utama Negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa perundangan, pemerintah dan kehakiman.

Dalam banyak perkara hampir semua keputusan kerajaan yang dibuat Seri Paduka Baginda adalah atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

Namun begitu Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara bagi melaksanakan tugas-tugas berikut:

* melantik seorang Perdana Menteri,

* tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen,

* meminta supaya diadakan satu Mesyuarat Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang tersebut dalam Perlembagaan.

Ada beberapa tugas rasmi yang hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong termasuk memanggil, memberhenti dan membubarkan Parlimen.

Selain mempunyai kuasa dan budi bicara melantik seorang Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda juga berkuasa melantik menteri-menteri lain sebagai anggota Jemaah Menteri dan Timbalan-timbalan Menteri, atas nasihat Perdana Menteri.

AGONG KETUA AGAMA

Selain menjadi Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong juga adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja iaitu Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan negeri asal Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong berkuasa melantik hakim-hakim, mengampun dan menangguhkan hukuman mengenai segala kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.

Seri Paduka Baginda mengurniakan bintang-bintang kebesaran dan pingat kepada rakyat di semua peringkat.

Sumber : BERNAMA

Bacaan lanjut boleh juga diakses di
http://www.malaysianmonarchy.org.my/
dan
http://ms.wikipedia.org/wiki/Yang_di-Pertuan_Agong

Ingin lihat senarai Agong? klik http://ms.wikipedia.org/wiki/Senarai_Yang_di-Pertuan_Agong

Isnin, 2 April 2012

Bacalah...Kamu Masih Di Hati

Dalam melahirkan 1Malaysia warga berilmu dan bermaklumat, usaha-usaha yang dijalankan tidak boleh meminggirkan mana-mana kumpulan masyarakat yang menjadi warga Malaysia daripada menerima limpahan pembangunan sama ada pembangunan infrasruktur mahupun pembangunan kerohanian termasuk pembangunan minda.

Perpustakaan Negara Malaysia sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk menggerakkan Budaya Membaca telah menjalankan usahasama yang harus dipuji dengan Jabatan Penjara Malaysia untuk memberi limpahan pembangunan minda kepada penghuni-penghuni institusi kepenjaraan. Ini direalisasikan dengan mengadakan program galakan membaca "Bacalah...Kamu Masih Di Hati". Pada tahun 2012, ia dianjurkan pada 2 April 2012 di Penjara Pusat Kota Kinabalu yang disempurnakan oleh YBhg Dato` Wira Hj. Zulkifli bin Omar, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia. Program ini sebenarnya adalah kali ketiga selepas kejayaan penganjuran yang sama di Sekolah Henry Gurney, Melaka pada tahun 2010 dan di Sekolah Integriti Sungai Petani pada 2011.

Melalui program ini, bahan bacaan sumbangan daripada pelabagai pihak termasuk penerbit-penerbit buku disediakan di Perpustakaan dan Sudut Bacaan di dalam penjara. Ini secara langsung akan memberi akses yang lebih mudah kepada penghuni/banduan untuk membaca lebih banyak bahan bacaan seterusnya memastikan usaha memartabatkan Budaya Membaca berada pada landasan yang dibina.


Angkasawan Negara turut hadir memberi Motivasi kepada Banduan dan tetamu
Banduan seperti mana kita ketahui telah tersilap membuat keputusan dalam kehidupan sehingga mereka ditempatkan di pusat-pusat pemulihan seperti penjara. Namun perlu diingat, mereka ini juga mempunyai masa depan yang perlu disusun agar cahaya yang lebih cerah menanti di hadapan. Kerana itu program sebegini dilihat suatu usaha yang murni dalam mendidik mereka menjadi insan yang lebih berguna untuk nusa bangsa.

Sempena program pada 2 April 2012 itu, banduan turut dididik dengan kaedah berkesan untuk mendapatkan maklumat melalui buku mahupun secara atas talian melalui Bengkel Literasi Maklumat yang telah diadakan. Pusat Sumber Datu Paduka Mat Saalleh Sekolah Integriti Kota Kinabalu turut dirasmikan pada program tersebut. 

Semoga usaha sebegini dapat dicontohi dan diikuti oleh pelbagai agensi di luar sana kerana dalam usaha melahirkan modal insan, semua antara kita adalah bertanggungjawab untuk merealisasikan usaha ini.

Barisan Tetamu Kehormat



Persembahan Kebudayaan
Persembahan Sketsa

YBhg Ketua Pengarah Penjara Malaysia menurunkan tandatangan pada Buku Lawatan Perpustakaan Sekolah Integriti Penjara Pusat Kota Kinabalu.

Pusat Sumber Sekolah Intergriti Penjara Pusat Kota Kinabalu yang dikenali sebagai Pusat Sumber Datu Paduka Mat Salleh
Banduan turut dididik dengan kaedah pencarian maklumat secara berkesan.

Khamis, 18 Ogos 2011

Seluas Lautan Ilmu Ditimba








Pada 13 Ogos yang lalu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) meneruskan jelajah Kempen Membacanya melalui siri Mari Membaca 1Malaysia. Kali ini, siri Kempen Membaca tersebut disasarkan kepada kumpulan tentera laut, kerana itu program Mari Membaca 1Malaysia tersebut dinamakan sebagai Seluas Lautan Ilmu Ditimba.

Program ini telah disempurnakan oleh DYTM Brigadier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai, Raja Muda Perlis bertempat di Auditorium Markas Angkatan Kapal Selam, Markas Wilayah  Laut 2, Pangkalan TLDM Teluk Sepangar, Kota Kinabalu, Sabah.

Seluas lautan begitu juga seluasnya ilmu perlu ditimba agar masyarakat menjadi modal insan yang berkualiti dari segi pengetahuan dan mempunyai minda yang lebih tajam ke arah membentuk sebuah negara yang mampu bersaing di arena dunia yang terbuka.

Kumpulan tentera laut yang menjadi sebahagian daripada masyarakat Malaysia tidak harus dipinggirkan dalam pembangunan minda insan kerana kumpulan tersebut juga adalah aset negara yang tidak ternilai.

Sempena program tersebut, sebanyak 500 naskhah bahan bacaan disumbangkan kepada TLDM Teluk Sepangar. Bahan bacaan tersebut diserahkan oleh DYTM Raja Muda Perlis kepada Panglima Wilayah Laut 2, Panglima Muda Dato` Anuwi bin Hassan. Selain bahan bacaan tersebut ditempatkan di Pusat Sumber Komuniti, ia juga ditempatkan di Kapal Diraja (KD) KEDAH. Buku-buku adalah sumbangan PNM, PTS Publication & Distributor selain daripada sumbangan Universiti Malaysia Perlis dan Mufti Negeri Perlis.

Sementara itu, syarikat Nagasteel Equipment telah tampil menyumbangkan rak buku yang ditempatkan di KD KEDAH selain turut menyalurkann 4 unit iPad untuk digunakan di Kapal Selam berikutan sudut bacaan tidak dapat diwujudkan dalam kapal selam yang mempunyai ruang yang sempit dan terhad. iPad tersebut diharapkan dimanfaatkan oleh anggota tentera sebagai gajet untuk membaca bahan bacaan elektronik.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah DYTM Meja Kehormat Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (Raja Puan Muda Perlis), Dato` Raslin bin Abu Bakar (Ketua Pengarah PNM), Laksamana Pertama Dato` Pahlawan Mohammad Rosland bin Omar (Panglima Angkatan Kapal Selam), Delegasi Lawatan OP PASIR Perlis serta pegawai-pegawai TLDM Teluk Sepangar.







Sabtu, 2 Julai 2011

MARI MEMBACA 1MALAYSIA@BATANG SADONG

Baru-baru ini pada 26 Jun 2011, terlaksana satu lagi program yang bertujuan melahirkan masyarakat bermaklumat menerusi pembudayaan amalan membaca melalui program Mari Membaca 1Malaysia@Batang Sadong di Padang Sentral, Simunjan, Sarawak.

Program tersebut yang merupakan anjuran Perpustakaan Negara Malaysia dan Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Simunjan, Majlis Daerah Simunjan dan Pejabat Pelajaran Daerah Simunjan telah disempurnakan oleh YB Puan Hajah Nancy binti Haji Shukri, Ahli Parlimen P200 Batang Sadong pada jam 2.30 petang. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Dato` Raslin bin Abu Bakar, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia dan Dato` Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie, Angkasawan Pertama Negara selain beberapa orang Tetamu Kehormat setempat.

Dalam program itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk menububhkan 4 buah sudut bacaan di sekitar kawasan Perlimen Batang Sadong iaitu:

  • Sudut Bacaan Kampung Engsengei Iban
  • Sudut Bacaan Kampung Sual
  • Sudut Bacaan Kampung Sageng dan
  • Sudut Bacaan Kampung Lubok Bunting

Selain itu, turut diadakan adalah Bengkel Literasi Maklumat yang bertujuan mendidik masyarakat setempat mengenai kaedah pencarian maklumat berkesan, permainan ilmu seperti Gali Kata, Silang Kata selain aktiviti seperti menyumpit, jualan buku, jualan produk setempat, pameran oleh World Children, Pertandingan Gubahan Bunga, Pertandingan Karaoke dan Teka Jumlah Halaman Buku.

Aktiviti paling mendapat sambutan adalah Sesi Motivasi Bersama Angkasawan Negara. Hampir 1,000 orang telah hadir ke sesi tersebut untuk mendengar motivasi daripada Dato` Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie selain mengambil peluang untuk bergambar dan mendapat tandatangan beliau.

Dianggarkan seramai hampir 2,000 orang telah hadir ke program yang berlangsung daripada 9.00 pagi hingga 4.00 petang itu. Semoga usaha ini akan mengimbangi kemajuan minda yang menjadi tunjang pembangunan negara antara masyarakat bandar dan luar bandar. Dengan menyedari kepentingan membaca, masyarakat 1Malaysia yang lebih berminda global dan menepati ciri-ciri masyarakat maju pasti dapat dilahirkan dengan lebih ramai lagi sebelum aspirasi membentuk sebuah negara maju dapat direalisasikan.





Ahad, 12 Jun 2011

Hari Terbuka PJL & GM Perpustakaan Desa Kg. Jerek

Kerajaan terus berusaha merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar. Pelbagai usaha telah dijalankan dalam membuka mata masyarakat di desa-desa untuk menjadikan mereka sebagai masyarakat yang literate kemudahan ICT.

Terbaru pada 11 Jun 2011 yang lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitimedia (SKMM) dan Telekom Malaysia melalui MSD Intelligence Sdn.Bhd dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menganjurkan Hari Terbuka Perpustakaan Jalur Lebar dan Galakan Membaca yang disempurnakan oleh YB Mat Yusof bin Abdul Ghani, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan Kawasan Nenggiri pada jam 3.30 petang di Perpustakaan Desa Kg. Jerek, Gua Musang, Kelantan.

Program ini bertujuan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat setempat dengan menyeru mereka mengamalkan amalan membaca sebagai budaya hidup dan seterusnya mempromosikan kemudahan ICT dan jalur lebar yang disediakan di perpustakaan berkenaan sebagai medium sumber maklumat secara digital.

Dengan 5,000 naskhah bahan bacaan serta kemudahan komputer dan akses kepada internet secara percuma yang disediakan di Perpustakaan Desa Kg. Jerek, ia perlu digunakan oleh penduduk setempat secara maksima dalam mendapatkan pelbagai maklumat-maklumat yang terdapat secara dalam talian mahupun secara konvensional iaitu melalui buku-buku dan majalah-majalah. Ini adalah landasan yang baik dalam usaha kerajaan melahirkan masyarakat yang berpengetahuan luas serta mencipta tamadun manusia yang lebih maju kelak. Usaha ini perlu disokong oleh masyarakat kerana usaha ini adalah untuk masyarakat selari dengan slogan "Rakyat didahulukan".

Seraima 500 orang warga setempat pelbagai lapisan umur telah hadir sepanjang sehari program berlangsung. Antara aktiviti yang diadakan termasuk:
  • Keahlian Perpustakaan Jalur Lebar
  • Keahlian Perpustakaan Desa Kg. Jerek
  • Pertandingan Mewarna
  • Bengkel Literasi Maklumat
  • Aktiviti Ilmu
  • Teka Jumlah Halaman Muka Surat Buku
  • Permainan Kapal Karam
  • Musical Chair
  • Permainan Langkah Ria
  • Persembahan Dikir Barat
  • Persembahan Bercerita dan
  • Persembahan Sajak





Sabtu, 4 Jun 2011

READMALAYSIA 2011 : Memperkasa Budaya Membaca

ReadMalaysia`11 merupakan pesta buku anjuran MINES Event Sdn.Bhd. Pada tahun 2011, penganjuran ReadMalaysia merupakan penganjuran tahun ketiga dan pada kali ini ia dianjurkan bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ia telah bermula pada 27 Mei hingga 5 Jun 2011 dengan disertai sebanyak 116 pemamer yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta. Dalam penganjuran tersebut, pelbagai koleksi buku dijual kepada pengunjung selain jualan bahan-bahan lain seperti permainan pembelajaran, makanan dan alat tulis.

Sepanjang penganjuran tersebut, pelbagai aktiviti telah diadakan seperti Spelling Contest, Sesi Buku Kegemaran Saya, persembahan artis jemputan, forum mengenai pembacaan, mewarna dan pelbagai aktiviti menarik lagi.

Mereka yang berkesempatan ke ReadMalaysia`11 pasti akan melihat satu situasi yang amat baik dalam kita memperkasakan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Kita perlu tahu, dalam mencapai Wawasan 2020 iaitu membentuk sebuah negara maju, budaya masyarakat Malaysia perlulah terlebih dahulu diterapkan dengan budaya masyarakat maju. Salah satu budaya masyarakat maju adalah dengan menjadikan amalan membaca sebagai salah satu budaya hidup. Ibarat slogan Kempen Membaca yang diterajui oleh Perpustakaan Negara Malaysia "Bangsa Membaca Bangsa Berjaya", ia harus menjadi pegangan yang kuat dalam setiap individu kerana melalui pemahaman yang mendalam terhadap slogan itu, akan mencetuskan satu fenomena pembacaan yang hebat di Malaysia. Dengan itu barulah masyarakat kita akan menjadi masyarakat yang berpengetahuan dan bermaklumat.

ReadMalaysia`11 memaparkan visual sebenar dimana tahap budaya membaca masyarakat Malaysia. Dengan kehadiran masyarakat yang tidak putus-putus, boleh disimpulkan memang masyarakat kita telah mengamalkan amalan membaca selain menjadikan buku sebagai keperluan. Kerana itu, berduyung-duyung masyarakat mengambil peluang untuk mencari koleksi bahan bacaan yang diingini.

Seharusnya program ilmu sebegini harus diteruskan dan perlu difahami, tanggungjawab melahirkan bangsa bermaklumat bukanlah terletak pada bahu Kerajaan semata-mata, malah individu dan syarikat-syarikat
swasta turut bertanggungjawab bersama-sama kerajaan berkempen untuk melahirkan masyarakat yang bermaklumat menerusi memperkasakan budaya membaca. Inilah yang dibuktikan oleh MINES Event Sdn. Bhd dengan memainkan peranan penting dalam menjayakan aspirasi Kerajaan melahirkan masyarakat berbudaya maju dengan penerapan amalan membaca secara beterusan. Tahniah diucapkan kepada seluruh warga MINES Event Sdn. Bhd.
















































Selasa, 24 Mei 2011

Matlamat Maklumat

Dalam mencipta kehidupan yang lebih berharga, mempunyai nilai hidup yang tinggi serta mencapai kemajuan yang lebih berdaya saing serta lengkap, adalah wajar untuk semua masyarakat berganding bahu mendaki suatu ketinggian yang diluar kebiasaan agar hidup mencapai tahap kemajuan yang lebih hebat.

Tidak mengira apa pun jua puncak yang dihasrati, istilah "Menggapai angkasa dari puncak" harus dihayati dengan sedalam-dalamnya. Istilah ini cukup menggambarkan walau dimana kejayaan kita hari ini, ia bukanlah noktah perhentian sebaliknya masih ada impian yang harus dijunjungi dan dituruti.

Matlamat yang dibina, harus mempunyai sokongan daripada pelbagai perkara serta mempunyai sumber mencukupi agar matlamat tersebut bukanlah hanya omong kosong. Keperluan kepada kejayaan mencapai matlamat yang diilhamkan antaranya mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi selain daripada kekuatan fizikal, rohani dan kemahiran dalaman atau softskill. 


Ilmu pengetahuan yang mantap akan membuahkan minda yang hebat. Tidak mengira apa jua jenis ilmu yang dibaca, ia pasti memberi kekuatan fikiran dalam bidang-bidang berkaitan.Kerana itu tajuk pena ini "Matlamat Maklumat".

Ilmu pengetahuan diperolehi individu menerusi pelbagai bentuk dan salah satu daripadanya adalah dengan membaca pelbagai medium pembacaan sama ada dalam bentuk fizikal mahupun secara digital. Daripada pembacaan, maka individu tersebut akan menghasilkan pelbagai bentuk maklumat iaitu gabungan fakta-fakta menjadi sesuatu yang bermanfaat sama ada untuk menghasilkan jalan penyelesaian atau membuahkan suatu cadangan yang berkualiti, atau untuk tujuan tertentu.

Maklumat-maklumat yang baik diperlukan dalam setiap perkejaan yang dilakukan. Daripada pekerjaan pertanian hinggalah membina pencakar langit. Sebagai contoh, dalam pertanian, jika ingin bertani, pelbagai maklumat perlu diperolehi sama ada secara pembacaan mahupun melalui pengalaman yang diceritakan oleh tokoh-tokoh tertentu. Antaranya seperti maklumat untuk memperolehi benih tanaman, maklumat kaedah penanaman, keperluan suhu untuk sesuatu tanaman hinggalah jenis tanah yang sesuai untuk benih yang ingin dibaja. Begitu juga jika bekerja dalam bidang pembinaan. Sebelum mewujudkan sesuatu bangunan, sudah tentu perlu mengkaji struktur tanah, jenis bahan yang boleh digunakan, potensi berlaku bencana alam hinggalah rasional membina bangunan tersebut.

Ini sebahagian contoh maklumat yang diperlukan dalam bidang yang dibincangkan, begitu juga dengan bidang-bidang lain, semuanya mengkehendakkan maklumat yang banyak, berkualiti dan sahih.

Jadi, untuk menjadikan masyarakat sebagai masyarakat yang berilmu pengetahuan, adalah penting masyarakat mengetahui matlamat untuk membaca, matlamat untuk mendapatkan maklumat dan matlamat maklumat dihasilkan.

Bila mana dibincang mengenai matlamat maklumat, sudah tentu ia berkait rapat dengan matlamat membaca. Untuk itu, masyarakat perlu mengetahuai objektif dan tujuan membaca sesuatu bahan. Jika matlamatnya untuk mempelajari ilmu penulisan sebagai contoh, novel adalah contoh bahan bacaan yang perlu dibaca. Jika ingin menjadi pakar dalam bidang IT, majalah IT seumpamanya perlu dikaji. Begitulah perlunya mengetahui tujuan membaca dilaksanakan.

Ini bukanlah bermakna membaca untuk bidang-bidang tertentu sahaja sebaliknya membaca perlu diperluaskan dalam pelbagai perkara dan aspek kerana setiap ilmu itu sifatnya saling berkait antara sesuatu ilmu dengan ilmu yang lain. Cuma perlu diberi perhatian disini adalah untuk apa maklumat yang dibaca. Antara matlamat maklumat sebagai panduan seperti:

  • Mengenal pasti masalah
  • Menyelesaikan masalah
  • Membuat keputusan
  • Menyediakan sesuatu cadangan
  • Merancang strategi
  • Memperluaskan ilmu pengetahuan
  • Memantapkan prestasi kerja
  • Melakukan inovasi
  • Mencipta pemikiran kreatif

Keutamaan matlamat maklumat adalah berbeza antara individu dengan individu lain. Sebahagian pekerja yang perlu mencari maklumat adalah keutamaanya pada untuk memantapkan pekerjaannya atau untuk merancang strategi sebaliknya jika menjadikan membaca sebagai hobi, keutaman matlamat memperolehi maklumat sudah tentu untuk memperluaskan ilmu pengetahuan.

Jadi disini tiada betul atau salah kedudukan matlamat maklumat diperlukan. Hanya individu tersebut yang mengetahui matlamatnya.

Jika masyarakat telah mengenal pasti tujuan maklumat sesuatu perkara, sudah tentu ini akan reflek kepada kelahiran masyarakat yang lebih perkasa dari segi ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang malah turut mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang-bidang diluar kepakarannya. Ini juga akan menjadi asas yang kukuh dalam membina kualiti hidup yang lebih baik, tersusun, mempunyai perancangan dan akhirnya melahirkan budaya hidup yang lebih meriangkan.

Kesimpulannya, apa jua yang dirancang dalam kehidupan sama ada dalam institusi kekeluargaan mahupun dalam alam perkerjaan, adalah penting untuk mendapatkan maklumat dan dalam masa yang sama mengetahui objektif maklumat itu. Secara tidak langsung, istilah "Menggapai angkasa dari puncak" adalah bermula dengan  matlamat maklumat yang dicari atau dibaca. Maklumat yang tepat, berkualiti dan sahih pada akhirnya akan menghasilkan satu kepuasan apabila mencipta kejayaan yang diidamkan.