Selasa, 24 Mei 2011

Matlamat Maklumat

Dalam mencipta kehidupan yang lebih berharga, mempunyai nilai hidup yang tinggi serta mencapai kemajuan yang lebih berdaya saing serta lengkap, adalah wajar untuk semua masyarakat berganding bahu mendaki suatu ketinggian yang diluar kebiasaan agar hidup mencapai tahap kemajuan yang lebih hebat.

Tidak mengira apa pun jua puncak yang dihasrati, istilah "Menggapai angkasa dari puncak" harus dihayati dengan sedalam-dalamnya. Istilah ini cukup menggambarkan walau dimana kejayaan kita hari ini, ia bukanlah noktah perhentian sebaliknya masih ada impian yang harus dijunjungi dan dituruti.

Matlamat yang dibina, harus mempunyai sokongan daripada pelbagai perkara serta mempunyai sumber mencukupi agar matlamat tersebut bukanlah hanya omong kosong. Keperluan kepada kejayaan mencapai matlamat yang diilhamkan antaranya mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi selain daripada kekuatan fizikal, rohani dan kemahiran dalaman atau softskill. 


Ilmu pengetahuan yang mantap akan membuahkan minda yang hebat. Tidak mengira apa jua jenis ilmu yang dibaca, ia pasti memberi kekuatan fikiran dalam bidang-bidang berkaitan.Kerana itu tajuk pena ini "Matlamat Maklumat".

Ilmu pengetahuan diperolehi individu menerusi pelbagai bentuk dan salah satu daripadanya adalah dengan membaca pelbagai medium pembacaan sama ada dalam bentuk fizikal mahupun secara digital. Daripada pembacaan, maka individu tersebut akan menghasilkan pelbagai bentuk maklumat iaitu gabungan fakta-fakta menjadi sesuatu yang bermanfaat sama ada untuk menghasilkan jalan penyelesaian atau membuahkan suatu cadangan yang berkualiti, atau untuk tujuan tertentu.

Maklumat-maklumat yang baik diperlukan dalam setiap perkejaan yang dilakukan. Daripada pekerjaan pertanian hinggalah membina pencakar langit. Sebagai contoh, dalam pertanian, jika ingin bertani, pelbagai maklumat perlu diperolehi sama ada secara pembacaan mahupun melalui pengalaman yang diceritakan oleh tokoh-tokoh tertentu. Antaranya seperti maklumat untuk memperolehi benih tanaman, maklumat kaedah penanaman, keperluan suhu untuk sesuatu tanaman hinggalah jenis tanah yang sesuai untuk benih yang ingin dibaja. Begitu juga jika bekerja dalam bidang pembinaan. Sebelum mewujudkan sesuatu bangunan, sudah tentu perlu mengkaji struktur tanah, jenis bahan yang boleh digunakan, potensi berlaku bencana alam hinggalah rasional membina bangunan tersebut.

Ini sebahagian contoh maklumat yang diperlukan dalam bidang yang dibincangkan, begitu juga dengan bidang-bidang lain, semuanya mengkehendakkan maklumat yang banyak, berkualiti dan sahih.

Jadi, untuk menjadikan masyarakat sebagai masyarakat yang berilmu pengetahuan, adalah penting masyarakat mengetahui matlamat untuk membaca, matlamat untuk mendapatkan maklumat dan matlamat maklumat dihasilkan.

Bila mana dibincang mengenai matlamat maklumat, sudah tentu ia berkait rapat dengan matlamat membaca. Untuk itu, masyarakat perlu mengetahuai objektif dan tujuan membaca sesuatu bahan. Jika matlamatnya untuk mempelajari ilmu penulisan sebagai contoh, novel adalah contoh bahan bacaan yang perlu dibaca. Jika ingin menjadi pakar dalam bidang IT, majalah IT seumpamanya perlu dikaji. Begitulah perlunya mengetahui tujuan membaca dilaksanakan.

Ini bukanlah bermakna membaca untuk bidang-bidang tertentu sahaja sebaliknya membaca perlu diperluaskan dalam pelbagai perkara dan aspek kerana setiap ilmu itu sifatnya saling berkait antara sesuatu ilmu dengan ilmu yang lain. Cuma perlu diberi perhatian disini adalah untuk apa maklumat yang dibaca. Antara matlamat maklumat sebagai panduan seperti:

  • Mengenal pasti masalah
  • Menyelesaikan masalah
  • Membuat keputusan
  • Menyediakan sesuatu cadangan
  • Merancang strategi
  • Memperluaskan ilmu pengetahuan
  • Memantapkan prestasi kerja
  • Melakukan inovasi
  • Mencipta pemikiran kreatif

Keutamaan matlamat maklumat adalah berbeza antara individu dengan individu lain. Sebahagian pekerja yang perlu mencari maklumat adalah keutamaanya pada untuk memantapkan pekerjaannya atau untuk merancang strategi sebaliknya jika menjadikan membaca sebagai hobi, keutaman matlamat memperolehi maklumat sudah tentu untuk memperluaskan ilmu pengetahuan.

Jadi disini tiada betul atau salah kedudukan matlamat maklumat diperlukan. Hanya individu tersebut yang mengetahui matlamatnya.

Jika masyarakat telah mengenal pasti tujuan maklumat sesuatu perkara, sudah tentu ini akan reflek kepada kelahiran masyarakat yang lebih perkasa dari segi ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang malah turut mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang-bidang diluar kepakarannya. Ini juga akan menjadi asas yang kukuh dalam membina kualiti hidup yang lebih baik, tersusun, mempunyai perancangan dan akhirnya melahirkan budaya hidup yang lebih meriangkan.

Kesimpulannya, apa jua yang dirancang dalam kehidupan sama ada dalam institusi kekeluargaan mahupun dalam alam perkerjaan, adalah penting untuk mendapatkan maklumat dan dalam masa yang sama mengetahui objektif maklumat itu. Secara tidak langsung, istilah "Menggapai angkasa dari puncak" adalah bermula dengan  matlamat maklumat yang dicari atau dibaca. Maklumat yang tepat, berkualiti dan sahih pada akhirnya akan menghasilkan satu kepuasan apabila mencipta kejayaan yang diidamkan.

Jumaat, 20 Mei 2011

Literasi Maklumat : Kaedah Pencarian Maklumat Menerusi Enjin Carian

Apabila kita berbincang berkenaan dengan carian yang cekap dalam menggunakan enjin carian di Internet, ia merujuk kepada ketepatan maklumat yang diperolehi dalam masa secepat yang mungkin.

Enjin carian Google dibina dengan kaedah cariannya yang cekap dan pantas.
Namun begitu, ada beberapa perkara yang memerlukan kecekapan pengguna enjin carian tersebut untuk mendapatkan carian maklumat yang tepat dan pantas.
Ia boleh diumpamakan dengan sebuah kereta lumba yang canggih memerlukan pemandu yang cekap untuk beroleh kejayaan dalam sesuatu pertandingan perlumbaan kereta.
Perkara pokoknya adalah bagaimana untuk menyingkirkan terlebih dahulu laman-laman web yang tidak berkaitan dan keputusan carian yang tidak betul.
Di sini akan dibincangkan beberapa faktor insan atau penggunaan carian yang betul bagi mendapatkan hasil carian yang lebih tepat dengan masa yang pantas apabila menggunakan enjin carian di Internet.

Struktur binaan sesebuah enjin carian secara umumnya adalah sama di antara satu sama lain.
Namun begitu, contoh yang akan diambil dalam perbincangan ini menggunakan enjin carian Google.

Berikut adalah beberapa kaedah yang betul untuk mendapat carian maklumat yang tepat dan pantas menggunakan enjin carian di Internet iaitu:-

1. Penggunaan kata kunci atau terma yang unik dan spesifik dalam suatu carian yang dibuat.
Apabila sesuatu carian yang dibuat, enjin carian akan paparkan beratus ribu atau lebih alamat laman web. Jadi, untuk mengurangkan paparan tersebut, gunakan kata kunci atau terma yang sangat spesifik dan unik.

2. Penggunaan tanda tolak (-) dalam kata kunci pencarian. Fungsinya adalah untuk memperkecilkan lagi skop carian. Enjin carian akan menghasilkan keputusan carian yang di luar jangka terutama kata kunci yang digunakan mempunyai beberapa maksud. Tanda tolak ini akan berfungsi secara logik sebagai TIDAK atau penafian bagi sesuatu makna dalam kata kunci carian. Ia akan membuang beberapa keputusan carian yang tidak berkenaan. Sebagai contoh, sekiranya kita menggunakan kata carian berkenaan haiwan, kerbau. Maka segala yang berkaitan dengan kerbau akan dipaparkan seperti Kerbau Enterprise, nama bagi sebuah syarikat, kertas dan lain-lain. Jadi, boleh menggunakan tanda tolak untuk tidak merangkumi maklumat-maklumat yang tidak berkaitan tersebut seperti - Enterprise - Ker dan lain-lain.

3. Penggunaan tanda pengikat kata (" ") bagi mendapatkan kata kunci yang lebih bersifat spesifik dan merangkumi segala kata kunci tersebut. Ia tidak akan mencari maklumat secara umum yang berkaitan dengan kata kunci yang dicari. Ia adalah satu cara bagi mengurangkan paparan maklumat yang tidak betul, tidak berkaitan dan tidak tepat dalam sesuatu carian.
Contohnya adalah seperti kata kunci atau carian perkataan, "Membujur lalu melintang patah".

4. Pengunaan huruf besar dan huruf kecil. Kebanyakan enjin carian tidak membezakan sesuatu perkataan yang sama dengan huruf kecil, huruf besar dan yang berada dalam pengikat kata.
Jadi, jangan membuang masa dengan perkara-perkara tersebut. Sebagai contoh, kesemua perkataan yang berikut adalah sama dalam enjin carian.
*Perpaduan
*perpaduan
*PERPADUAN
nPerpaduan
nperpaduan

5. Tidak menggunakan perkataan kebiasaan dan tanda seruan. Ini kerana kebanyakan enjin carian akan abaikan perkataan kebiasaan yang digunakan dalam ayat untuk bahasa Inggeris seperti and, a, the, an, is dan lain-lain. Pengunaan tanda seruan juga akan diabaikan. Namun begitu, ia boleh digunakan dan enjin carian akan mengambil kira dalam proses carian sekiranya ia berada dalam pengikat kata (" ").

6. Penggunaan fungsi AutoComplete dalam enjin carian. Penyusunan terma kata carian daripada secara umum kepada yang lebih spesifik dalam kotak carian dapat banyak membantu memaparkan keputusan yang tepat dalam bentuk senaraian pada kotak carian tersebut. Inilah cara yang berkesan menggunakan fungsi AutoComplete dalam enjin carian. Pemilihan item yang bersesuaian pada kotak carian menjimatkan masa untuk menaip sesuatu terma carian. Fungsi AutoComplete ini bukan sahaja berada dalam enjin carian seperti Google tetapi ada pada pelayar web atau brwoser seperti Internet Explorer, Mozilla Firefox dan lain-lain.

7. Elakkan menggunakan kata carian berbahasa Inggeris yang mempunyai imbuhan perkataan seperti ballstestedwalking dan lain-lain. Lebih baik menggunakan perkataan asas seperti balltestwalk dan lain-lain. Ini dapat mengurangkan paparan maklumat yang tidak tepat dalam menggunakan enjin carian.
Namun begitu, sekiranya carian maklumat memerlukan perkataan reading. Gunakan perkataan reading dalam carian maklumat kita.

8. Penggunaan Browser History atau fungsi sejarah dalam pelayar web seperti Internet Explorer, Mozilla Firefox dan lain-lain.
Kadang kala ada alamat laman web yang sudah kita layari untuk dapatkan maklumat.
Sekiranya ada keperluan lagi dan kita menggunakan enjin carian, seperti biasa ia akan paparkan banyak maklumat yang perlu kita perhalusi satu demi satu.
Jadi, alamat laman web yang sudah kita layari sebelum ini boleh diperolehi semula di bahagian Browser History ini.
Bagi memudahkan lagi carian kita, perlu kita mengingat masa dan tarikh laman web tersebut dilayari menggunakan pelayar web tersebut.

9. Hadkan masa carian dan tambahkan dengan pelbagai cara carian. Sekiranya dalam masa tertentu, masih belum menjumpai maklumat yang dicari, kita perlu ada kaedah atau perancangan yang lain seperti berikut:-
nPenggunaan enjin carian yang lain seperti Yahoo!, Lycos, Bing dan lain-lain.
nMembuat pertanyaan dengan menghantar soalan ke forum-forum elektronik yang berkaitan.
nMenggunakan pakar carian maklumat yang boleh membantu.
nMembuat panggilan telefon untuk sesuatu bantuan atau pertanyaan.
nBertanya soalan atau maklumat tersebut kepada rakan taulan.

10. Perincikan carian maklumat yang dibuat. Terdapat beberapa simbol yang boleh diguna pakai dalam carian bagi menambahkan kespesifikan carian dan mengurangkan skop carian. Ia dapat mengurangkan paparan maklumat yang tidak sesuai. Di antaranya adalah seperti berikut:-
nTanda tambah ( + ) - Enjin carian akan abaikan perkataan sambungan atau yang biasa digunakan dalam ayat seperti is, are, and dan sebagainya. Sekiranya perlu untuk kita masukan perkataan tersebut boleh menambah simbol tambah ini dipermulaan perkataan tersebut seperti giant +and city. Jadi, carian tersebut akan memaparkan segala maklumat berkenaan perkataan tersebut termasuk perkataan and.

nTanda aliran ( ~ ) - Dengan penambahan tanda ini didepan sesuatu perkataan, enjin carian akan mencari maklumat perkataan tersebut dan maklumat yang sinonim dengan perkataan tersebut. Namun begitu, tidak kesemua perkataan berupaya mendapatkan hasil yang baik dengan tanda ini terutama sekali perkataan singkatan dan mepunyai banyak makna seperti HTML, CSS, HTTP dan lain-lain. Contoh penggunaanya adalah seperti berikut, ~ HTML.

nTanda asterik ( * ) - Ia digunakan untuk mencari sesuatu perkataan bersama dengan terma lain yang tidak diketahui seperti berikut, pendekar *. Namun begitu, ia tidak boleh digunaka untuk sebahagian daripada perkataan seperti pendekar m*. Hasil carian akan memaparkan segala maklumat berkenaan dengan pendekar dengan tambahan apa-apa perkataan yang lain.

nTanda atau ( OR ) atau ( | ) - Ia digunakan untuk mencari salah satu perkataan-perkataan carian yang sesuai. Sebagai contoh, kenangan indah akan memaparkan maklumat kedua-dua perkataan tersebut tetapi kenangan | indah akan memaparkan kesemua maklumat berkenaan salah satu daripada perkataan carian tersebut.

nJulat penomboran - Perincian sesuatu carian yang bernombor boleh dikecilkan skop cariannya dengan menyatakan julat dan jenis pengukuran bagi nombor tersebut. Sebagai contoh, Windows Server 2005 .. 2008, iPad RM100 RM200 dan lain-lain.

nPenggunaan carian pintar atau Advanced Search yang mempunyai banyak pilihan dan kriteria untuk mengecilkan lagi skop carian seperti tarikh, negara, bahasa dan lain-lain. Ia boleh digunakan dengan mengklik butangnya yang terdapat di sekitar kotak carian.

nPenggunaan fungsi Wonder Wheel dalam enjin carian Google. Ia juga merupakan satu kaedah pencarian yang mengecilkan skop carian kepada carian yang lebih spesifik pada sesuatu perkara.
Ia boleh dibuat carian menerusi kotak carian Google.

Kemudian klik kepada perkataan Wonder Wheel disebelah tepinya.
Segala apa yang dibincangkan sama ada ia merupakan satu kaedah carian atau alat carian adalah merupakan perkara penting. Ini berguna untuk kita mendapatkan carian maklumat yang hampir tepat dalam masa yang pantas.

Segala maklumat yang tidak perlu dapat dihindarkan daripada paparan enjin carian.
Internet merupakan sebuah gudang maklumat yang mempunyai pelbagai jenis maklumat.
Tugas kita adalah untuk memperhalusi aspek carian maklumat agar berupaya mendapat maklumat yang tepat dalam masa yang pantas. Hampir kesemua enjin carian adalah berasaskan kepada bahasa Inggeris.


Sumber dipetik dari Utusan Malaysia - 9 Mei 2011

Isnin, 16 Mei 2011

Hari Terbuka Perpustakaan Jalur Lebar dan Galakan Membaca Perpustakaan Desa Kg. Senggora, Maran, Pahang

Dalam menyusuri kemajuan dunia digital tanpa sempadan, masyarakat perlu bangkit dari "lena" dengan memastikan diri mempunyai kemahiran ICT yang selari dengan kehendak zaman. Malaysia hari ini semakin maju mengikuti rapat pembangunan negara maju dalam usaha mencapai status negara maju dalam alaf Wawasan 2020.

Kemajuan prasarana lengkap dibangunkan secara berfasa dalam memastikan teknologi sentiasa mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat. semenjak 1994, Malaysia mula mengorak langkah memperkenalkan kemudahan sumber maklumat secara atas talian atau senangnya disebut internet. Bermula sejak itu, maka bermula era digital di Malaysia.  Pelbagai teknologi di perkenalkan kepada masyarakat satu per satu.

Kini, kerajaan giat mengusahakan Kemudahan internet Jalur Lebar kepada masyarakat untuk memastikan masyarakat kita seiring dengan masyarakat negara maju. Untuk itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)serta Telekom Malaysia (TM) telah menyediakan prasarana Jalur Lebar di kawasan luar bandar dengan harapan dapat mengurangkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Terbaru, SKMM dan TM melalui MSD Intelligence Sdn Bhd dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah mengadakan Hari Terbuka Perpustakaan Jalur Lebar dan Galakan Membaca di Perpustakaan Desa Kg. Senggora, Maran, Pahang dengan tujuan mempromosikan kemudahan ICT yang disediakan kepada masyarakat setempat.

Program tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato` Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib, Ahli Parlimen Maran di Dewan JKKK Kg. Senggora pada jam 4.30 petang, 15 Mei 2011. Turut hadir di majlis itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang Kawasan Luit.

Antara aktiviti yang dijalankan sempena program itu termasuklah kuiz Perpustakaan Jalur Lebar, Bengkel Literasi Maklumat, Teka jumlah halaman buku, permainan Langkah Ria, aktiviti ilmu, pertandingan mewarna, demonstrasi pemuliharaan buku serta pameran daripada agensi-agensi yang dijemput. Sambutan di kalangan warga setempat amat menggalakkan dengan kehadiran lebih daripada 300 orang yang hadir sepanjang sehari program tersebut berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Semoga usaha ini akan menjadikan masyarakat setempat lebih perkasa daripada segi kemahiran menggunakan kemudahan ICT disamping menjadi masyarakat bermaklumat melalui amalan membaca secara fizikal mahupun menggunakan medium digital.

Baru Dilahirkan

Selamat sejahtera, salam 1Malaysia.

Geng Baca telah dilahirkan menerusi blogspot. segala maklumat akan dikemaskini dalam sedikit masa lagi. Salam perkenalan dan jangan lupa menjadi pengikut di sini serta memberi pandangan saudara-saudari dalam memperkasakan budaya membaca di Malaysia.

Sekian, terima kasih.