Sabtu, 2 Julai 2011

MARI MEMBACA 1MALAYSIA@BATANG SADONG

Baru-baru ini pada 26 Jun 2011, terlaksana satu lagi program yang bertujuan melahirkan masyarakat bermaklumat menerusi pembudayaan amalan membaca melalui program Mari Membaca 1Malaysia@Batang Sadong di Padang Sentral, Simunjan, Sarawak.

Program tersebut yang merupakan anjuran Perpustakaan Negara Malaysia dan Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Simunjan, Majlis Daerah Simunjan dan Pejabat Pelajaran Daerah Simunjan telah disempurnakan oleh YB Puan Hajah Nancy binti Haji Shukri, Ahli Parlimen P200 Batang Sadong pada jam 2.30 petang. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Dato` Raslin bin Abu Bakar, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia dan Dato` Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie, Angkasawan Pertama Negara selain beberapa orang Tetamu Kehormat setempat.

Dalam program itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk menububhkan 4 buah sudut bacaan di sekitar kawasan Perlimen Batang Sadong iaitu:

  • Sudut Bacaan Kampung Engsengei Iban
  • Sudut Bacaan Kampung Sual
  • Sudut Bacaan Kampung Sageng dan
  • Sudut Bacaan Kampung Lubok Bunting

Selain itu, turut diadakan adalah Bengkel Literasi Maklumat yang bertujuan mendidik masyarakat setempat mengenai kaedah pencarian maklumat berkesan, permainan ilmu seperti Gali Kata, Silang Kata selain aktiviti seperti menyumpit, jualan buku, jualan produk setempat, pameran oleh World Children, Pertandingan Gubahan Bunga, Pertandingan Karaoke dan Teka Jumlah Halaman Buku.

Aktiviti paling mendapat sambutan adalah Sesi Motivasi Bersama Angkasawan Negara. Hampir 1,000 orang telah hadir ke sesi tersebut untuk mendengar motivasi daripada Dato` Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie selain mengambil peluang untuk bergambar dan mendapat tandatangan beliau.

Dianggarkan seramai hampir 2,000 orang telah hadir ke program yang berlangsung daripada 9.00 pagi hingga 4.00 petang itu. Semoga usaha ini akan mengimbangi kemajuan minda yang menjadi tunjang pembangunan negara antara masyarakat bandar dan luar bandar. Dengan menyedari kepentingan membaca, masyarakat 1Malaysia yang lebih berminda global dan menepati ciri-ciri masyarakat maju pasti dapat dilahirkan dengan lebih ramai lagi sebelum aspirasi membentuk sebuah negara maju dapat direalisasikan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan