Isnin, 2 April 2012

Bacalah...Kamu Masih Di Hati

Dalam melahirkan 1Malaysia warga berilmu dan bermaklumat, usaha-usaha yang dijalankan tidak boleh meminggirkan mana-mana kumpulan masyarakat yang menjadi warga Malaysia daripada menerima limpahan pembangunan sama ada pembangunan infrasruktur mahupun pembangunan kerohanian termasuk pembangunan minda.

Perpustakaan Negara Malaysia sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk menggerakkan Budaya Membaca telah menjalankan usahasama yang harus dipuji dengan Jabatan Penjara Malaysia untuk memberi limpahan pembangunan minda kepada penghuni-penghuni institusi kepenjaraan. Ini direalisasikan dengan mengadakan program galakan membaca "Bacalah...Kamu Masih Di Hati". Pada tahun 2012, ia dianjurkan pada 2 April 2012 di Penjara Pusat Kota Kinabalu yang disempurnakan oleh YBhg Dato` Wira Hj. Zulkifli bin Omar, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia. Program ini sebenarnya adalah kali ketiga selepas kejayaan penganjuran yang sama di Sekolah Henry Gurney, Melaka pada tahun 2010 dan di Sekolah Integriti Sungai Petani pada 2011.

Melalui program ini, bahan bacaan sumbangan daripada pelabagai pihak termasuk penerbit-penerbit buku disediakan di Perpustakaan dan Sudut Bacaan di dalam penjara. Ini secara langsung akan memberi akses yang lebih mudah kepada penghuni/banduan untuk membaca lebih banyak bahan bacaan seterusnya memastikan usaha memartabatkan Budaya Membaca berada pada landasan yang dibina.


Angkasawan Negara turut hadir memberi Motivasi kepada Banduan dan tetamu
Banduan seperti mana kita ketahui telah tersilap membuat keputusan dalam kehidupan sehingga mereka ditempatkan di pusat-pusat pemulihan seperti penjara. Namun perlu diingat, mereka ini juga mempunyai masa depan yang perlu disusun agar cahaya yang lebih cerah menanti di hadapan. Kerana itu program sebegini dilihat suatu usaha yang murni dalam mendidik mereka menjadi insan yang lebih berguna untuk nusa bangsa.

Sempena program pada 2 April 2012 itu, banduan turut dididik dengan kaedah berkesan untuk mendapatkan maklumat melalui buku mahupun secara atas talian melalui Bengkel Literasi Maklumat yang telah diadakan. Pusat Sumber Datu Paduka Mat Saalleh Sekolah Integriti Kota Kinabalu turut dirasmikan pada program tersebut. 

Semoga usaha sebegini dapat dicontohi dan diikuti oleh pelbagai agensi di luar sana kerana dalam usaha melahirkan modal insan, semua antara kita adalah bertanggungjawab untuk merealisasikan usaha ini.

Barisan Tetamu Kehormat



Persembahan Kebudayaan
Persembahan Sketsa

YBhg Ketua Pengarah Penjara Malaysia menurunkan tandatangan pada Buku Lawatan Perpustakaan Sekolah Integriti Penjara Pusat Kota Kinabalu.

Pusat Sumber Sekolah Intergriti Penjara Pusat Kota Kinabalu yang dikenali sebagai Pusat Sumber Datu Paduka Mat Salleh
Banduan turut dididik dengan kaedah pencarian maklumat secara berkesan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan