Selasa, 24 Mei 2011

Matlamat Maklumat

Dalam mencipta kehidupan yang lebih berharga, mempunyai nilai hidup yang tinggi serta mencapai kemajuan yang lebih berdaya saing serta lengkap, adalah wajar untuk semua masyarakat berganding bahu mendaki suatu ketinggian yang diluar kebiasaan agar hidup mencapai tahap kemajuan yang lebih hebat.

Tidak mengira apa pun jua puncak yang dihasrati, istilah "Menggapai angkasa dari puncak" harus dihayati dengan sedalam-dalamnya. Istilah ini cukup menggambarkan walau dimana kejayaan kita hari ini, ia bukanlah noktah perhentian sebaliknya masih ada impian yang harus dijunjungi dan dituruti.

Matlamat yang dibina, harus mempunyai sokongan daripada pelbagai perkara serta mempunyai sumber mencukupi agar matlamat tersebut bukanlah hanya omong kosong. Keperluan kepada kejayaan mencapai matlamat yang diilhamkan antaranya mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi selain daripada kekuatan fizikal, rohani dan kemahiran dalaman atau softskill. 


Ilmu pengetahuan yang mantap akan membuahkan minda yang hebat. Tidak mengira apa jua jenis ilmu yang dibaca, ia pasti memberi kekuatan fikiran dalam bidang-bidang berkaitan.Kerana itu tajuk pena ini "Matlamat Maklumat".

Ilmu pengetahuan diperolehi individu menerusi pelbagai bentuk dan salah satu daripadanya adalah dengan membaca pelbagai medium pembacaan sama ada dalam bentuk fizikal mahupun secara digital. Daripada pembacaan, maka individu tersebut akan menghasilkan pelbagai bentuk maklumat iaitu gabungan fakta-fakta menjadi sesuatu yang bermanfaat sama ada untuk menghasilkan jalan penyelesaian atau membuahkan suatu cadangan yang berkualiti, atau untuk tujuan tertentu.

Maklumat-maklumat yang baik diperlukan dalam setiap perkejaan yang dilakukan. Daripada pekerjaan pertanian hinggalah membina pencakar langit. Sebagai contoh, dalam pertanian, jika ingin bertani, pelbagai maklumat perlu diperolehi sama ada secara pembacaan mahupun melalui pengalaman yang diceritakan oleh tokoh-tokoh tertentu. Antaranya seperti maklumat untuk memperolehi benih tanaman, maklumat kaedah penanaman, keperluan suhu untuk sesuatu tanaman hinggalah jenis tanah yang sesuai untuk benih yang ingin dibaja. Begitu juga jika bekerja dalam bidang pembinaan. Sebelum mewujudkan sesuatu bangunan, sudah tentu perlu mengkaji struktur tanah, jenis bahan yang boleh digunakan, potensi berlaku bencana alam hinggalah rasional membina bangunan tersebut.

Ini sebahagian contoh maklumat yang diperlukan dalam bidang yang dibincangkan, begitu juga dengan bidang-bidang lain, semuanya mengkehendakkan maklumat yang banyak, berkualiti dan sahih.

Jadi, untuk menjadikan masyarakat sebagai masyarakat yang berilmu pengetahuan, adalah penting masyarakat mengetahui matlamat untuk membaca, matlamat untuk mendapatkan maklumat dan matlamat maklumat dihasilkan.

Bila mana dibincang mengenai matlamat maklumat, sudah tentu ia berkait rapat dengan matlamat membaca. Untuk itu, masyarakat perlu mengetahuai objektif dan tujuan membaca sesuatu bahan. Jika matlamatnya untuk mempelajari ilmu penulisan sebagai contoh, novel adalah contoh bahan bacaan yang perlu dibaca. Jika ingin menjadi pakar dalam bidang IT, majalah IT seumpamanya perlu dikaji. Begitulah perlunya mengetahui tujuan membaca dilaksanakan.

Ini bukanlah bermakna membaca untuk bidang-bidang tertentu sahaja sebaliknya membaca perlu diperluaskan dalam pelbagai perkara dan aspek kerana setiap ilmu itu sifatnya saling berkait antara sesuatu ilmu dengan ilmu yang lain. Cuma perlu diberi perhatian disini adalah untuk apa maklumat yang dibaca. Antara matlamat maklumat sebagai panduan seperti:

  • Mengenal pasti masalah
  • Menyelesaikan masalah
  • Membuat keputusan
  • Menyediakan sesuatu cadangan
  • Merancang strategi
  • Memperluaskan ilmu pengetahuan
  • Memantapkan prestasi kerja
  • Melakukan inovasi
  • Mencipta pemikiran kreatif

Keutamaan matlamat maklumat adalah berbeza antara individu dengan individu lain. Sebahagian pekerja yang perlu mencari maklumat adalah keutamaanya pada untuk memantapkan pekerjaannya atau untuk merancang strategi sebaliknya jika menjadikan membaca sebagai hobi, keutaman matlamat memperolehi maklumat sudah tentu untuk memperluaskan ilmu pengetahuan.

Jadi disini tiada betul atau salah kedudukan matlamat maklumat diperlukan. Hanya individu tersebut yang mengetahui matlamatnya.

Jika masyarakat telah mengenal pasti tujuan maklumat sesuatu perkara, sudah tentu ini akan reflek kepada kelahiran masyarakat yang lebih perkasa dari segi ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang malah turut mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang-bidang diluar kepakarannya. Ini juga akan menjadi asas yang kukuh dalam membina kualiti hidup yang lebih baik, tersusun, mempunyai perancangan dan akhirnya melahirkan budaya hidup yang lebih meriangkan.

Kesimpulannya, apa jua yang dirancang dalam kehidupan sama ada dalam institusi kekeluargaan mahupun dalam alam perkerjaan, adalah penting untuk mendapatkan maklumat dan dalam masa yang sama mengetahui objektif maklumat itu. Secara tidak langsung, istilah "Menggapai angkasa dari puncak" adalah bermula dengan  matlamat maklumat yang dicari atau dibaca. Maklumat yang tepat, berkualiti dan sahih pada akhirnya akan menghasilkan satu kepuasan apabila mencipta kejayaan yang diidamkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan