Isnin, 16 Mei 2011

Hari Terbuka Perpustakaan Jalur Lebar dan Galakan Membaca Perpustakaan Desa Kg. Senggora, Maran, Pahang

Dalam menyusuri kemajuan dunia digital tanpa sempadan, masyarakat perlu bangkit dari "lena" dengan memastikan diri mempunyai kemahiran ICT yang selari dengan kehendak zaman. Malaysia hari ini semakin maju mengikuti rapat pembangunan negara maju dalam usaha mencapai status negara maju dalam alaf Wawasan 2020.

Kemajuan prasarana lengkap dibangunkan secara berfasa dalam memastikan teknologi sentiasa mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat. semenjak 1994, Malaysia mula mengorak langkah memperkenalkan kemudahan sumber maklumat secara atas talian atau senangnya disebut internet. Bermula sejak itu, maka bermula era digital di Malaysia.  Pelbagai teknologi di perkenalkan kepada masyarakat satu per satu.

Kini, kerajaan giat mengusahakan Kemudahan internet Jalur Lebar kepada masyarakat untuk memastikan masyarakat kita seiring dengan masyarakat negara maju. Untuk itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)serta Telekom Malaysia (TM) telah menyediakan prasarana Jalur Lebar di kawasan luar bandar dengan harapan dapat mengurangkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Terbaru, SKMM dan TM melalui MSD Intelligence Sdn Bhd dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah mengadakan Hari Terbuka Perpustakaan Jalur Lebar dan Galakan Membaca di Perpustakaan Desa Kg. Senggora, Maran, Pahang dengan tujuan mempromosikan kemudahan ICT yang disediakan kepada masyarakat setempat.

Program tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato` Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib, Ahli Parlimen Maran di Dewan JKKK Kg. Senggora pada jam 4.30 petang, 15 Mei 2011. Turut hadir di majlis itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang Kawasan Luit.

Antara aktiviti yang dijalankan sempena program itu termasuklah kuiz Perpustakaan Jalur Lebar, Bengkel Literasi Maklumat, Teka jumlah halaman buku, permainan Langkah Ria, aktiviti ilmu, pertandingan mewarna, demonstrasi pemuliharaan buku serta pameran daripada agensi-agensi yang dijemput. Sambutan di kalangan warga setempat amat menggalakkan dengan kehadiran lebih daripada 300 orang yang hadir sepanjang sehari program tersebut berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Semoga usaha ini akan menjadikan masyarakat setempat lebih perkasa daripada segi kemahiran menggunakan kemudahan ICT disamping menjadi masyarakat bermaklumat melalui amalan membaca secara fizikal mahupun menggunakan medium digital.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan